GEMPA BUMI DI PADANG

Kejadian  gempa bumi besar di Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Ia berlaku tepat jam 17:16 (Waktu Indonesia). Kemudian disusuli dengan gempa kedua pada jam 17:58. Pada keesokan pula, berlaku satu lagi gegaran di Jambi pada jam 8:52.

Gempa bumi yang melanda Indonesia kali ini cukup besar dengan saiz yang direkodkan ialah 7.6 skala Richter. Hingga kini, angka korban yang dicatatkan menghampiri 1000 orang, dan beberapa buah kampung sudah diisytiharkan sebagai tanah perkuburan besar selepas operasi mencari mangsa yang tertimbus dihentikan.


SESI TAKLIMAT




Beberapa hari selepas tragedi gempa tersebut, tersebar melalui email dan SMS satu andaian mengaitkan waktu-waktu gempa dengan beberapa ayat Al-Quran. Berikut adalah contoh tulisan yang tersebar: 

Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa).

Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.

Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud: Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).

Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud: (keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya.

Persoalannya, bolehkah mengaitkan secara langsung tiga ayat Al-Quran di atas dengan tiga gegaran gempa bumi baru-baru ini berdasarkan persamaan antara waktu gempa dengan nombor surah dan ayat Al-Quran?

Soalnya, dari manakah kaedah padanan ini diambil? 

 Jika teori ini benar dan bukannya kebetulan, sudah pasti setiap peristiwa besar seperti gempa dan tsunami boleh dirujuk terus kepada ayat Al-Quran dengan melihat kepada waktunya yang dipadankan kepada ayat Al-Quran.

Tetapi selepas membuat beberapa padanan terhadap beberapa kejadian gempa sebelum ini, didapati bukan semua kejadian gempa bumi sesuai dipadankan dengan nombor surah dan ayat. Hasil yang diperolehi kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang kaitan antara ayat berkenaan dengan kejadian.

 Kaedah ini difahami, ini bukan bermakna dilarang mengambil iktibar sesuatu peristiwa daripada ayat Al-Quran. Malahan, kita dituntut supaya merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dalam apa jua pertikaian dan permasalahan dalam kehidupan.

Contohnya, peristiwa gempa seperti ini boleh dikaitkan dengan ayat 22-23 surah Al-Hadid yang bermaksud:

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”.

Kesimpulannya, ambil lah iktibar daripada Al-Quran berdasarkan padanan antara peristiwa dengan makna dan tafsiran satu-satu ayat Al-Quran. Bukan berdasarkan padanan antara waktu dan nombor ayat Al-Quran.

Sekian.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAKIT JANTUNG

AL FATIHAH 2023