GEMPA BUMI PADANG MRA
Kami bertolak ke Padang Pariaman dari lapangan terbang LCCT dengan menaiki pesawat AK474 dengan membawa bersama bekalan ubat-ubatan. Walaupun gempa baru sahaja melanda Padang, namun bilangan penumpang hampir memenuhi pesawat Airbus A320 itu. Perjalanan udara ini tidaklah begitu meletihkan kami kerana ia hanya memakan masa lebih kurang 1 jam perjalanan. Kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau tepat jam 4:30 petang waktu tempatan.
bersama team pertama yang tiba sehari selepas gempa bumi di padang |
Gempa bumi berukuran 7.9 skala Ritcher yang menggegarkan Sumatera Barat khususnya di kawasan Padang Pariaman telah mengorbankan hampir 1200 jiwa rakyat Indonesia dan 3000 mangsa masih gagal dijumpai. Dikala negara yang mempunyai majoriti umat Islam paling ramai di dunia masih lagi dalam suasana meraikan kemeriahan sambutan Aidilfitri, kegembiraan sambutan lebaran tersebut bagaikan disentap secara tiba-tiba. Kejadian gempa yang berlaku pada 10 syawal iaitu pada 30 September telah meranapkan rumah kediaman, hospital, pejabat kerajaan dan kedai-kedai. Malah anak-anak menjadi yatim piatu, saudara mara kehilangan keluarga tercinta serta kemusnahan harta benda.
papan iklan yang menarik" jauhi maksiat elakkan zina" |
Pasukan menyelamat dan mencari antarabangsa termasuk dari Britain, Perancis, Switzerland serta dunia Arab sedang menggeledah runtuhan bangunan secara berhati-hati untuk mencari mangsa-mangsa yang masih hidup. Mereka mengharapkan menemui keajaiban di bawah runtuhan bangunan. Dua mangsa ditemui masih hidup dan selamat di bawah runtuhan setelah 40 jam terperangkap bersama mayat-mayat mereka yang telah menemui ajal. Hari ini, pasukan SMART Malaysia akan memulakan usaha mencari menyelamat di Hotel Mariani, Padang. Harapan kita agar mereka berjaya mengeluarkan mangsa-mangsa yang masih hidup.
Semalam iaitu hari kedua misi MRA, waktu yang amat memenatkan dan hari yang penuh keadaan menyayat hati sambil menyaksikan kemusnahan. Benak pemikiran penduduk-penduduk di Padang masih dalam keadaan trauma dan hospital-hospital penuh sesak dengan pesakit-pesakit yang mengalami kecederaan.
Melalui kerjasama dengan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), para doktor, jururawat dan petugas perubatan MRA akan memberikan khidmat kepada mangsa gempa bumi di Rumah Sakit Siti Rahmah, Hospital Daerah Kota Padang dan Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) di kawasan Pendahulu dan Pariaman. Rumah Sakit Umum RSU M. Djamil di Padang mengalami kerosakan akibat gempa.
bersama ketua unit SMART team malaysia yang beroperasi bersama team kami |
Ibarat kata pepatah “Sudah jatuh ditimpa tangga”. Begitulah nasih rakyat Indonesia yang sering dilanda bencana. Ini kerana pada Mei 2006, satu kejadian gempa bumi telah menggoncangkan penduduk bumi Yogyakarta. Malah peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh penduduk dunia adalah Tsunami yang telah melumpuhkan seluruh Banda Acheh dan meragut ratusan ribu manusia pada 2004. Kedudukan muka bumi Indonesia yang berada di dalam lingkaran gunung berapai menjadi salah satu faktor penyumbang kekerapan kejadian bencana alam.
Semenjak kejadian gempa yang berlaku, MRA telah menghantar pasukan perubatan hampir setiap minggu. Penulis berkesempatan terlibat sebagai sukarelawan bagi pasukan pertama yang telah diamanahkan untuk membantu mangsa gempa selama 10 hari . Pasukan yang bertolak pada telah diketuai oleh Dr Mohd Hyzan yang merupakan pakar orthopedik di Hospital Subang Jaya dan juga Dr Dahlia dari Hospital Serdang.Turut menjayakan misi ini juga adalah Mr Shahran kasim selaku operating komuniti yang merupakan orang kuat MRA .Berserta 4 orang jururawat.kami juga bergabung dengan team kedua sampai iaitu Dr Suryasmi pakar Orthopedik dari hospital kerajaan yang mana ibu beliau juga menetap di Padang.
mengambil bekalan ubat untuk dibawa ke operasi kami di klinik pariaman |
Dari segi geografi, Pariaman terletak di Sumatera Barat dan terbahagi kepada 3 daerah iaitu Pariaman Utara, Pariaman Tengah dan Pariaman Selatan. Jumlah penduduk di sini seramai 76 000 orang. Hampir kesemua penduduknya beragama Islam dan berketurunan Minang. Tidak seperti di Jakarta yang subur dengan sektor pelancongan dan perindustrian,kebanyakan penduduk Pariaman bergantung kepada sektor pertanian dengan mengerjakan padi bukit. Justeru, taraf sosioekonomi penduduk di sini sangat rendah dan jauh kebelekang berbanding kota-kota besar yang ada di Indonesia.
Kesan daripada kejadian gempa tersebut, menyebabkan sektor ekonomi di sini terencat dan sistem perkhidmatan awam lumpuh.
Sepanjang kami berada di sana, penduduk tempatan begitu senang dan
selesa dengan kehadiran kami. Malah, klinik bergerak kami telah
‘diserbu’ oleh pesakit sehinggakan kami terpaksa melanjutkan
perkhidmatan perubatan sehingga larut malam. Secara purata dalam sehari
, kami terpaksa merawat hampir 150 orang pesakit
Walaupun pada waktu itu, beberapa isu-isu kontrovesi seperti Tarian Pendet , penderaan pembantu rumah warga Indonesia dan lain-lain telah mengeruhkan hubungan rakyat Malaysia dan Indonesia, namun dengan semangat yang kental dan niat ikhlas untuk membantu bangsa yang serumpun dengan Malaysia. Isu-isu tersebut tidak sedikit pun melemahkan motivasi kami malah penerimaan dan layanan yang baik penduduk terhadap kami diluar sangkaan.
Ma Jo, panggilan mesra kami kepada salah seorang staf di Puskesmas Pedusunan Kampung Tengah, telah memaklumkan bahawa kampung beliau, Kampung Malintang yang terletak sejauh 30 km dari Pariaman amat memerlukan pemeriksaan kesihatan kerana masih belum ada bantuan kesihatan yang sampai. Setelah berbincang dengan rakan-rakan, kami pun terus membuat persiapan dan bertolak kekampung beliau jam 7:00 malam selepas klinik di Puskesmas Pedusunan tamat jam 6:30 petang. Kami sampai kira-kira jam 8:00 malam dan para penduduk telah pun menunggu kedatangan kami. Dengan berbekalkan cahaya lampu dari generator, kami terus beroperasi melayan pesakit seorang demi seorang sehingga kami kehabisan bekalan ubat yang dibawa. Jumlah pesakit yang dirawat ialah seramai 83 orang dan kami berjanji akan datang keesokan hari untuk merawat mereka yang masih belum mendapat rawatan. Kami bertolak pulang jam 10 malam dan sampai di tempat penginapan dengan selamat jam 11 malam.
Pariaman merupakan provinsi yang paling teruk dilanda gempa. Sepanjang perjalan ke Pariaman ini, penulis dapat melihat banyak kemusnahan seperti kedai-kedai yang roboh dan rumah yang hanya tinggal bumbung. Penduduk tempatan hanya mampu membina khemah berhampiran rumah kediaman yang ranap tanpa ada bekalan elektrik dan air bersih. Musim hujan yang turun pada bulan November menyulitkan lagi kehidupan penduduk. Ini menyebabkan mereka mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.begitu juga aku yang mana terpaksa pakai baju yang sama kerana bajuku habis dek kerana hujan tidak kering.
- Bantuan “sembako” (sembilan bahan pokok) yang mengandungi 9 bahan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan lain-lain untuk diagihkan terus kepada mangsa.
- Klinik bergerak (mobile clinic) yang memberi rawatan perubatan secara percuma di kawasan di mana berlakunya bencana serta kawasan-kawasan pedalaman.
- Rumah Darurat yang berharga 5.5 juta Rupiah (RM 2000.00) yang diengkapi 2 buah bilik sedang dibina bagi mangsa-mangsa yang hilang tempat tinggal. Setakat ini MRA telah bersetuju untuk membina 100 buah rumah.
- Mendirikan sekolah ceria bagi membolehkan anak-anak di sana mendapat pendidikan sekaligus berperanan untuk menghilangkan rasa trauma yang dialami oleh mereka.
yang pasti hanya masjid utuh berdiri tanda hanya pada allah kita mohon segalanya |
Misi 1 dan 2 MRA selamat pulang ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu dan Ahad lepas selepas berada di Padang dan Kota Pariaman selama 8 hingga 9 hari. Pihak MRA mengucapkan tahniah dan syabas kepada mereka kerana telah berjaya melaksanakan amanah dan tugasan yang diberikan. Sepanjang disana, Misi 1 dan 2 telah menyalurkan bantuan perubatan dan makanan disekitar Padang dan Pariaman. Kerjasama erat diantara MRA dengan berbagai agensi dari Malaysia dan Indonesia telah melancarkan lagi gerak kerja disana. MRA ingin mengucapkan ribuan terimakasih kepada pihak Majlis Keselamatan Negara kerana sentiasa memberi bantuan kepada MRA. Begitu juga kepada Dewan Dakwah Indonesia dan Bulan Sabit Merah Indonesia yang telah begitu banyak membantu dalam semua perkara yang diperlukan.
Sebenarnya, usaha yang dilaksanakan oleh MRA masih lagi kecil kerana ramai lagi mangsa yang belum mendapatkan bantuan yang sewajarnya. Adalah besar harapan penulis agar ada di antara rakyat yang prihatin dapat menghulurkan bantuan dari segala aspek samada masa, harta, idea dan tenaga. Seperti kata pepatah “Berat sama dipikul ringan sama dijinjing”.
Sumbangan kepada Malaysian Relief Agency boleh disalurkan melalui akaun
Nama Akaun: MALAYSIAN RELIEF AGENCYNo. Akaun: 5640 9820 6365 (MAYBANK BERHAD)
Sila hantarkan cek anda beserta borang sumbangan kepada:
Malaysian Relief Agency
Lot 7, Jalan Raja Uda
Kampung Baru
50300 Kuala Lumpur
Lot 7, Jalan Raja Uda
Kampung Baru
50300 Kuala Lumpur
atau fakskan ke no: 03- 2697 2007
Ulasan